Article


“PROGRAM KITA PENGGUNA - PENGGUNA MALAYSIA TEGUH BERSAMA BIJAK BESTARI” MEMPERKENALKAN DIMENSI BARU DALAM ADVOKASI KEPENGGUNAAN DI KALANGAN MASYARAKAT



KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menganjurkan sebuah “Program Kita Pengguna yang bertemakan Pengguna Malaysia Teguh Bersama Bijak Bestari” yang telah dirasmikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di MyTOWN Shopping Center, Kuala Lumpur.

Ia merupakan satu pendekatan yang diambil dalam melahirkan komuniti pengguna bijak dalam mewujudkan keharmonian dalam ekosistem ekonomi yang berteraskan masyarakat bersepadu dan Negara yang makmur.

Antara perkara yang diutamakan termasuklah penerapan budaya kepenggunaan atau consumerism yang berdaya-upaya, memperkasakan hak pengguna dan sikap keberanian dalam mengambil tindakan yang bersangkutan dengan hak-hak pengguna. Penganjuran program ini adalah usaha dalam mengukuhkan fungsi teras KPDNHEP yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pengguna.

Selain itu, program yang diadakan selama tiga hari ini melibatkan 13 pempamer yang terdiri daripada persatuan-persatuan pengguna, agensi- agensi kerajaan, badan-badan berkanun, entiti swasta serta Bahagian- bahagian di KPDNHEP yang terlibat dengan kepenggunaan, penguatkuasaan dan pemantauan harga barangan.

Program ini mencakupi pelbagai aspek kepenggunaan seperti perlindungan dan pendidikan pengguna, penjagaan kesihatan, perancangan kewangan dan mengelakkan penipuan, keselamatan jalan raya, penguatkuasaan undang-undang, pemuliharaan alam sekitar serta impak subsidi yang diberikan Kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat, KPDNHEP - https://www.kpdnhep.gov.my/ms/media-kpdnhep/berita-kpdnhep/berita-terkini/2022-berita-terkini/1327-program-kita-pengguna-pengguna-malaysia-teguh-bersama-bijak-bestari-memperkenalkan-dimensi-baru-dalam-advokasi-kepenggunaan-di-kalangan-masyarakat

 


Copyright Ministry of Domestic Trade and Cost Of Living © 2024